Archive for May, 2007

kontemplasi

May 23, 2007
magnify

333

Di Sini Ada Nyawa

Wajah itu melakar rajuk,
melukis hampa, mencoret derita..

Wajah itu, menjerit sunyi..
“wahai nikmat, di mana menyepi
kerana aku ada di sini”

Tafakurnya berbisik bingung,
Apakah ”Bumi Ini Milik Kita,” bukan untuk dia..

Wajah itu meraung..
Tapi, raungnya tenggelam,
di tengah asyik sebuah kemajuan..

Jangan biarkan dia berkata…
“Wahai anak-anakku,
warisilah penderitaan ini..
Ini sahaja yang aku ada..”

sejenak renungan

May 10, 2007
magnify

333

Baru-baru ini dek suka-suka, dan kerana tak ada kerja lain, aku naik keretapi dari Seremban ke Johor Bharu.. Kemudian ke Wakaf Bharu, Kelantan.. Kemudian ke Butterworth dari Kota Bharu, melalui Jeli-Grik-Kulim dengan bas ekspres Lebuhraya Timur-Barat — pengalaman pertama aku merentas dan mendaki dada Banjaran Titiwangsa yang membahagikan semenanjung Malaysia kepada Pantai Barat yang serba maju, dan Pantai Timur yang entah kenapa susah sangat untuk dimajukan.. Kemudian, dari Butterworth aku berkeretapi semula ke KL.. Dan, menaiki tren komuter untuk tamatkan perjalanan di Seremban.. Semua ini dalam masa seminggu..

Semasa berkeretapi malam ke JB, aku seronok, bila menjenguk ke luar tingkap – memang tak nampak apa pun.. Situasi sebegini, membuat aku lebih fokus kepada berbagai wajah lena yang kelihatan tidak selesa berdengkur duduk, sebelum tiba ke destinasi masing-masing..

Apakah yang dimimpikan hingga berdengkur begitu?
Ahh, biarlah yang empunya dengkuran sahaja yang tahu..

Bagi aku, di setiap wajah itu ada seribu adegan menagih tafsir.. Atau terpadam sendiri, apabila jaga nanti.. Aku pernah berkata kepada seorang kawan, yang aku tak berani lena, kerana, setiap kali aku terlena, aku akan bermimpi.. Aku takut dengan mimpi..

Kata orang, mimpi itu indah..
Setiap yang indah ada seninya.. Dan setiap yang berseni ada pula indahnya..

Tetapi ada juga yang berkata..
Tidak semestinya yang indah itu berseni, dan yang berseni itu indah.. Ahh, manusia memang subjektif terhadap kehidupan.. Terlalu berjaga-jaga.. Terlalu manipulatif..

Berbalik kepada wajah-wajah tadi, terlalu banyak hendak dikatakan, jika dihurai satu persatu.. Cuma, nukilan ringkas ini yang dapat aku lakar, sebelum keretapi yang membawa aku melunsur tiba di stesen Johor Bharu, pada subuh keesokannya..

wajah-wajah
dipeluk malam
sama berkongsi laluan hakiki
merentas liku
tidak berpenghujung
untuk diterus

hmm entah tiba entah rebah

citra landasan ini
tiada penyudah
kerana kau juga
bersama di dalamnya
menatap pahit
di sebuah kenangan manis