Archive for December, 2007

Hulu Terengganu

December 30, 2007
magnify

240

Terima kasih kepada kawan produser aku yang telah memberi assignment menulis tentang 10 kawasan parlimen, khusus untuk tayangan di RTM 1. Setakat ini, aku berpeluang ke Hulu Terengganu, Kuala Langat dan Serdang. Walaupun hektik, aku anggap assignment ini satu percutian yang menyeronokkan.

Tasik Kenyir:
Tempat yang paling menarik perhatian aku adalah Tasik Kenyir di Hulu Terengganu. Sebuah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, berfungsi untuk menjana kuasa elektrik ke seluruh negara.

“The Power Begins Here” itulah ungkapan bangga yang dilafazkan oleh ketua jurutera di stesen janakuasa ini sebaik sahaja memulakan taklimatnya tentang Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud Kenyir. Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud mampu menampung 13.6 juta kubik meter air yang disalurkan ke 4 buah turbin air jenis Francis shaf tegak yang disambung terus ke janakuasa (generator). Setiap turbin/janakuasa berkeupayaan menjana sebanyak 100 megawat kuasa elektrik. Setiap janakuasa disambung kepada satu alatubah 112MVA di mana voltan dinaikkan dari 13.8kV kepada 275kV. Kesemua alatubah ini disambung ke pencawang tertutup berdekatan dan dari sini kuasa elektrik disalurkan ke sistem Grid Nasional melalui Paka dan Tanah Merah. Dari sini juga bekalan elektrik disalurkan ke Kuala Terengganu melalui talian 132 kV dan ke Kuala Berang melalui 11 kV (bawah tanah).

Ikan Kelah
Keluasan Tasik Kenyir sama besar dengan keluasan negeri Melaka.. Di perairannya, ada beratus-ratus pulau kecil, dan kita akan dapat mengalami flora dan fauna yang masih terpulihara sejak berjuta-juta tahun dahulu.. Selain beberapa pulau resort yang dibina khas untuk para pengunjung, di sini ada Kelah Sanctuary, Taman Herba dan sebuah projek High Impact membela ikan dalam sangkar.

Di Kelah Sanctuary, meredah bukit, lurah dan ranjau selama 40 minit untuk sampai ke sebuah lubuk semulajadi bagi ikan kelah, (yang terkenal dengan nilai komersilnya sebagai ikan hiasan atau hidangan esklusif), adalah satu pengalaman yang sungguh berbaloi.. Bayangkan RM3k bagi seekor ikan kelah yang cukup matang dan bersisik kemerah-merahan. Segala jerih untuk sampai ke lubuk ini, terubat, apabila kita dipersembahkan dengan satu ketakjuban ciptaan Al Khaliq.. Beribu-ribu ekor ikan kelah yang sudah biasa dengan kedatangan pengunjung, mempersembahkan sebuah tarian “Selamat Datang..” Satu kemesraan semulajadi antara haiwan dan manusia, yang jarang kita lihat di mana-mana.. Pokoknya, amaran seorang ranjer, ia boleh dimanja (pegang di tapak tangan) tetapi tidak boleh disalai, digoreng atau digulai.. Spesis Kelah adalah spesis lindungan di sanctuary ini.

Pulau herba

Tanaman herba sudah diakui berkhasiat untuk kesihatan malah banyak yang telah dikomersialkan dan mendapat sambutan baik orang ramai, antaranya tongkat Ali, kacip Fatimah dan cengkudu. Melihat potensi itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memajukan Pulau Sah Kecil di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu sebagai Taman Herba terkenal di dunia.

Taman Herba mempunyai keluasan 15.8 hektar dan terletak kira-kira tujuh kilometer dari Pengkalan Gawi adalah antara kawasan yang menjadi tarikan utama pelancong ke Tasik Kenyir. Ia berkonsep pelancongan, pendidikan dan penyelidikan yang mempunyai lebih 200 spesies herba yang ditanam dan hidup semula jadi. Antara spesies herba itu ialah legundi, halban, bonglai, lada pahit, kemuning, kayu manis, tongkat Ali, sial menaun, sekentut, mambu
dan pecah piring.

(bersambung)

Advertisements